Cerita ini adalah petikan dan transliterasi jawi ke rumi dari
buku ‘TANGGA PENGETAHUAN BAGI DARJAH TIGA’ (Sekolah Melayu), terbitan tahun
1957. Ia dipetik dari bab 17 mukasurat 43.
Hikayat maka adalah pada suatu masa seorang laki-laki telah
mengembara dari sebuah negeri ke sebuah negeri yang jauh. Maka dalam
perjalanannya itu ia telah merasa tersangat lapar. Lalu menyinggahlah ia di
rumah seorang janda di tepi jalan.
Kalakian dipintalah oleh pengembara itu sangat-sangat kepada
janda itu kalau boleh kiranya ia menjamu akan dia dengan apa-apa makanan yang
sedia di rumahnya. Maka kasihanlah janda itu lalu diangkatkannyalah sepinggan
nasi dan semangkuk gulai.
Wah apatah lagi! Laksana orang mengantuk disorongkan bantal.
Demi terletak sahaja dimakanlah oleh pengembara yang lapar itu.
Apakala nasi itu dekat akan habis sepatutnya dibawakan tambah
lagi, tetapi nasi perempuan itu hanya sepinggan itulah sahaja yang ada maka
pengembara yang kebulur itu hendak minta berasa segan lalu diangkatnya
pinggannya seraya berkata “Ayuhai kakak! Berapakah harga pinggan ini dibeli
dahulu?”
Maka janda itu pun mengertilah isyarat pengembara itu yakni
hendakkan nasi lagi lalu diangkatnya pula periuknya yang kosong itu sambil
menyahut “Akan harga pinggan itu bersamaan dengan periuk ini”
Apabila terpandang oleh pengembara akan periuk janda itu
hampa, maka ia pun diamlah seraya membasuh tangannya dan menerima kasih
banyak-banyak kepada janda itu lalu turun dari rumah itu menuju perjalanannya.
Bagaimana
bulung begitulah tingkahnya
Bagaimana
tepuk begitulah tarinya
Raja arif masuk ke taman
Taman larangan Betara Indra
Arif bertemu dengan budinya
Terindah daripada laut mutiara
SEKIAN dan Salam Ramadan..
No comments:
Post a Comment
kOMEN JE..